Thursday, 23 February 2012

Ihfazillaha Yahfazka


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,sekali lagi dengan kehendakNya diberi sedikit ruang dan masa untuk menitipkan ingatan dan nasihat buat diri agar kekurangan dalam setiap sisi kehidupan ini sentiasa diperbaiki,kerana kebaikan dapat memadamkan kesalahan atau kesilapan semalam.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“perbuatan-perbuatan baik itu menghapus kesalahan-kesalahan.”

(surah Hud:114)

Mungkin ada yang sudah sinonim mendengar ihfazIllaha yahfazka,kalimah-kalimah ini sangat menyentuh hati tatkala ia benar-benar difahami,dihayati dan diaplikasi dalam kehidupan ini.Bukan dengan tidak sengaja untuk memilih tajuk ini namun hati ini tergerak untuk menulis bekenaannya oleh sebab dalam kehidupan seharian ini sesaat pun tidak pernah terlepas dari pandangan Allah,pengawasan Allah,penjagaan Allah dan pemeliharaan Allah. “jagalah Allah,Allah akan menjaga kamu.”Inilah maksud tajuk kali ini.

Sungguh dalam kehidupan akhir zaman ini, tika menjalani urusan setiap hari,banyak sekali mehnah atau ujian yang perlu dihadapi.Ujian datang dalam dua keadaan,sama ada menguji lahiriah atau rohaniah.Ujian yang menguji lahiriah seperti musibah (banjir,kemalangan,kekurangan wang untuk sara hidup,sakit dan lain-lain).Namun ujian yang menguji rohaniah seperti penyakit was-was,tidak khusyuk dalam solat,riba’,makanan yang syubhah yakni ia berada  di antara halal dan haram dan sebagainya.Oleh yang demikian,mengapa harus diuji?itulah tanda Tanya dalam diri bila jawapannya belum ditemui.Setelah membaca buku dan  artikel berkenaan ujian ini,dapat faham bahawa Allah menguji hamba-hambanya kerana tiga sebab iaitu sebagai,bala’,ibtila dan kafarah.

Ada ujian yang didatangkan Allah sebagai bala’ yang bermaksud malapetaka atau kesusahan.Bala’ ini adalah hukuman dari Allah semasa berada didunia lagi.Allah menimpakan Bala’ kepada hambanya yang enggan atau ingkar untuk mentaati segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.Sekiranya manusia yang ditimpa  Bala’ ini masih tidak menyedarinya hingga ajal tiba,bermakna dua kali hukuman menimpa dirinya,hukuman didunia iaitu bala’ dan hukuman di akhirat.Ya Allah lindungilah kami hambaMu yang lemah.Bala’ yang paling besar adalah berasa senang dengan dosa yang dilakukan,berasa seronok dengan maksiat yang dilakukan atau dalam kata mudah tidak dapat melihat dosa itu sebagai dosa walaupun ia sudah diketahuinya.wal ‘iazubillah.Contoh Bala’ bagi umat-umat terdahulu seperti Firaun dan pengikut-pengikutnya yang ditenggelamkan ke dalam laut merah,Raja Namrud yang mati hanya kerana seekor nyamuk telah masuk ke dalam otaknya,kaum nabi lut yang mati setelah bumi di negeri mereka diterbalikkan dan banyak lagi bala’ yang Allah timpakan kepada umat terdahulu.Kisah-kisah ini telah Allah rakamkan dalam Al-Quran agar umat kekasihNya Muhammad s.a.w  iaitu kita ini mengambil iktibar,menjadikan ia teladan dalam kehidupan agar sejarah yang pahit tidak berulang.

Terdapat juga ujian yang Allah datangkan sebagai ibtila’ yakni ujian atau cubaan.Ibtila’ ini adalah satu bentuk ujian dalam menjalankan ketaatan sebagai tanda kasih-sayang Allah terhadap hambaNya.SubhanAllah.Allah uji tanda Allah sayang.Itulah kata-kata yang sering didengar.ada kebenarannya.Tatkala Allah melihat hambanya sudah mulai taat,kemudiannya ujian pula mula didatangkan untuk menilai sejauh mana ketaatan,kesabaran,kesungguhan(jihad),kebergantungan(tawakal) dan kesyukuran hambaNya itu.Maka setelah Allah menilai hambanya,barulah Allah tahu hambanya berada ditahap mana.Setelah hambaNya telah menempuhi dengan penuh keimanan dan kesabaran,layaklah untuk Allah mengangkat darjat hambanya ke tahap yang lebih tinggi.Begitulah sifat Ar-Rahman Ar-Rahim.SubhanAllah.Kebiasaannya ibtila’ berlaku pada para nabi,para syuhada’ dan solihin seperti ujian dalam menegakkan kebenaran,namun ditentang hebat oleh golongan musyrikin.

Sebab terakhir Allah datangkan Ujian adalah sebagai kafarah iaitu penghapus dosa.teringat satu kisah antara seorang anak dan ibunya.Anaknya seorang yang baik kepada ibu bapanya dan taat kepada Allah.Namun pada satu hari si anak bergurau dengan ibunya sehingga membuatkan ibunya terasa hati,si anak tidak menyedari hal itu.setelah berlalu pergi si anak terpijak duri dan luka pula kakinya.Selepas itu,si anak kembali kepada ibunya dan ibunya segera merawati anaknya.lalu berkata ibu, “wahai anakku,adakalanya ujian yang ditimpa adalah kafarah ke atas kamu,beristighfarlah kepada Allah.”tiba-tiba anaknya terdetik adakah kata-kataku tadi menyinggung perasaan ibu?lalu anak itu memeluk erat ibunya lalu memohon ampun kepada ibunya.lalu ibunya berkata, ”ibu sudah memaafkan kamu.mohonlah keampunan pada Allah.Allah sayang pada hambanya yang bertaubat dan membersihkan diri.”Rupanya benarlah gerak hati si anak akan keterlanjurannya.Begitulah Kisah ini menjelaskan maksud kafarah,di mana balasan terhadap dosa yang dilakukan dihantar oleh Allah untuk menebus kesalahannya.Kesalahan yang berlaku disebabkan keterlanjurannya.Jadi Allah beri kafarah padanya agar tersedar serta kembali semula untuk memohon keampunan dari Allah.

Terlalu panjang penjelasan mengenai ujian,tapi itulah yang perlu ditelusuri supaya diri lebih menyedari maksud di sebalik setiap ujian.supaya usaha untuk terus mencari redhanya sentiasa dipelajari dan ditekuni.Berbalik kepada ihfazillaha yahfazka,jagalah Allah Allah akan menjaga kamu.Apa perkaitannya dengan ujian yang dihadapi?perlu diperhati bahawa segala yang berada dibumi yang kita diami ini tidak satu pun kepunyaan manusia.Semuanya milik Yang Allah yang Esa.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“milik Allahlah segala yang berada di langit mahupun di bumi.”

(surah Baqarah:284)

Segalanya milik Allah.Jadi apa yang ada pada manusia?manusia hanya sekadar di beri pinjaman oleh Allah, tanah yang dimiliki,rumah,kereta,isteri,suami,anak-anak, hatta tubuh ini pun pinjaman dari Allah terhadap hambaNya untuk menguji sifat taat,sabar dan syukur.Oleh yang demikian,bila mana segala isi dunia ini adalah nikmat kurniaanNya bermaksud bumi ini berada di bawah pengawasanNya,perlindunganNya dan pemeliharaanNya.Allah yang memelihara segala yang berada di langit dan di bumi.Semuanya berada dibawah naunganNya.

Di mana  dan sejauh mana kepatuhan serta ketaatan kita kepada Yang Maha Memelihara,Yang Maha Melindungi,Yang Maha Mengawasi,ini sepatutnya yang perlu difikirkan kerana kuasa yang mencengkam segala yang berada di langit dan di bumi hanya terletak pada kekuasaan Allah.Dengan patuh,taat dan sujud padaNya, keyakinan bahawa Allah sentiasa memelihara,menjaga dam mengawasi itu akan sentiasa jalan seiring.

Dari mana datangnya keyakinan?keyakinan bermula dengan keimanan sebagaimana dalam rukun iman.Iman adalah  iktiqad atau keyakinan dalam hati  pada kekuasaan Allah s.w.t yang seiring dengan ketaatan dalam melaksanakan amal-amal soleh dalam kehidupan.Bukti iman adalah amal soleh bermaksud perbuatan baik.Setelah keyakinan pada Allah terpahat dalam hati berserta dengan amal-amal soleh dalam kehidupan,keyakinan bahawa Allah Yang Memelihara dan Melindung akan sentiasa bersama.Inilah yang di maksudkan dengan Ihfazillaha yahfazka,Jagalah Allah Allah akan menjaga kamu.SubhanAllah.

Menjawab semula persoalan perkaitan antara ujian dengan tajuk ini,sebenarnya ingin dinyatakan bahawa manusia sering diuji setelah membuat sedikit demi sedikit perubahan kearah kebaikan,di uji tatkala berusaha untuk mentaati Allah,diuji tatkala ingin meniggalkan larangan Allah.namun sedarkah insan yang diuji ini sedang menjaga ketaatannya kepada Allah yakni ihfazillaha.Dengan keimanan,kesungguhan serta kesabaran kesudahannya Allah akan menjaga dan memeliharanya kembali yakni yahfazka.meyakini janji Allah tidak pernah menghampakan.

Sebelum berakhir,kehidupan yang dijalani saban hari ini tidak pernah lepas dari kesilapan dan kesalahan.Dengan pengetahuan yang hadir pada hari inilah dapat membetulkan serta memperbaiki kekurangan semalam.Jagalah Allah,Allah akan menjaga kamu dalam setiap urusan hidupmu.
               "Lihatlah keagungan serta kekuasaan Allah dengan merenungi ciptaanNya."

Monday, 20 February 2012

Kepastian


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah,syukur yang tiada terhingga kehadrat Allah s.w.t yang masih mengizinkan hambaNya ini untuk terus menghirup udara kurniaanNya,untuk melihat kebesaran dan keagunganNya,untuk mendengar kalimah-kalimah pujian untukNya,untuk melangkah ke tempat yang menuju redhanNya,untuk menyampaikan ilmu yang diilhamkan kepada hambaNya serta hati yang sentiasa tunduk,patuh dan sujud padaNya.

Kehidupan yang dijalani hari ini belum tentu dapat dilalui pada hari esok,seringkali diingatkan kepada diriku.Bimbang sekiranya kesibukan yang menyelubungi diri berkenaan hal-hal duniawi memungkinkan diriku leka dan terus lupa pada kepastian.

FirmanAllah s.w.t yang bermaksud:

“setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.
                                                                               
                                                                          (surah Ali-Imran:185)

Setiap makhluk bernyawa pastinya akan merasai kematian,yang namanya tumbuhan,haiwan,serangga dan manusia sendiri turut tak terlepas dengan kepastian ini yakni kematian.Sebenarnya kematian ialah satu proses perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh.Terdapat ulama’ yang berpendapat alam barzakh adalah sebahagian dari alam akhirat.wallahu a’lam.

Kematian menjemput dalam pelbagai keadaan,pada kebiasaannya bila seseorang ditimpa sakit atau mungkin kemalangan dan sakit tua,semuanya berlaku bersebab iaitu kerana sakit dan kemalangan.Walaubagaimanapun,kematian tak terlepas bagi insan-insan yang dikurniakan kesihatan.Boleh jadi nyawa diambil saat sedang tidur,ketika sedang duduk berehat,semuanya munasabah untuk berlaku jika ia sememangnya kehendak Allah.Malahan umur pun tidak kira walaupun usia sekadar satu hari,satu bulan,satu tahun apatah lagi yang sudah mencapai belasan dan puluhan.Selagi diberikan kudrat,berdoa pada Allah agar dikurniakan pengakhiran yang baik. “Allahummakhtimlana bi husnil khatimah,wa la takhtim ‘alaina bissuil khatimah.”amin.

Kekadang susah untuk terima hakikat kematian bagi seseorang yang disayangi,dihormati,disegani.Namun,itulah kebenaran bagi makhluk yang bernyawa,pujuk diri bahawa Allah lebih menyayangi dirinya,kerana itu Allah menjemputnya terlebih dahulu,mudah-mudahan dia tergolong dalam kalangan mukminin,muttaqin,mujahidin,syuhada’ dan para solihin.amin.Segalanya menurut kehendakNya. “Inna lillah wa inna ilaihi raji’un.”

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“sesungguhnya kami ini milik Allah dan kepadaNya kami kembali.”
                                                                                       (surah baqarah:156)

Sedaya-upaya mengingatkan diri dengan kalimah-kalimah ini tiap kali ditimpa musibah atau kesusahan supaya akal yang walaupun sihat ini tersedar dengan hakikat siapa diri kita sebenarnya.Ya,kamu adalah milik Allah dan kepadaNya kamu akan kembali.

Saat melihat insan-insan yang dekat dengan diri telah pergi mengadap Illahi terlebih dahulu,perasaan sedih dan hiba mengatasi segalanya akan tetapi bila digambarkan dalam fikiran bahawa insan yang dikafankan itu adalah diriku,semakin bergenang air mata kerana mengingatkan dosa-dosa sepanjang kehidupan ini. “bersediakah aku kiranya ini saatNya nyawaku diambil?”.Itulah soalan yang menghantui diri.Gambaran itu memujuk serta menyuruh untuk kembali bermuhasabah.Muhasabah,inilah  perkataan banyak kali diulang namun pengertiannya sangat memberi kesan setelah dilakukan.Kata lainnya menghitung diri atau koreksi diri,kematian insan disekeliling menyuruh diri untuk kembali bermuhasabah agar persediaan untuk menghadapi kepastian itu sentiasa berterusan selagi masih bernyawa,selagi akal yang waras ini mampu berfikir,selagi itu muhasabah perlu diteruskan.

Rasulullah s.a.w bersabda:
“orang yang paling bijak adalah mereka yang banyak mengingati mati dan bersedia menghadapinya.”
  (riwayat Ibnu Majah)

Apa yang dapat difahami dari hadith ini ialah Rasulullah s.a.w memberitahu mengenai sifat bagi hamba Allah yang celik mata hatinya adalah mereka yang ingat pada kematian dan membuat persediaan bagi menghadapinya ,ia bukan bermaksud untuk lupa pada soal dunia akan tetapi ini membuatkan diri waspada dalam setiap sudut kehidupan,menggunakan kesempatan di alam dunia ini seoptimum mungkin sebagai bekalan di alam akhirat.Benarlah pepatah arab ada menyebut “addunia mazra’atul akhirah.”Dunia adalah ladang tanaman untuk hari akhirat.Bermaksud didunia inilah tempat untuk menanam pohon-pohon pahala kelak di akhirat masanya untuk menuai hasil.Indahnya perumpamaan ini.

Begitulah dalam menelusuri kehidupan ini,hari yang berupa kepastian itu sentiasa menanti saat untuk dipertemukan dengannya.Namun hakikat diri yang sememangnya sentiasa berasa tidak bersedia harus sentiasa menyediakan diri sebelum tiba masa untuk menghadapNya.Ambillah peluang untuk menjadikan pemergian insan yang berada hampir dengan diri sebagai iktibar dalam kehidupan supaya tertaut hasrat untuk menghitung diri,memperbaiki diri,menilai diri sebelum kepastian menjadi realiti.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"setiap yang bernyawa akan merasai mati,dan hanya pada hari kiamat sahajalah diberikan dengan sempurna balasanmu.Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga,sungguh dia memperoleh kemenangan.Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya."
 (surah Ali Imran:185)


                         "Bina keimanan sebagaimana teguhnya akar pohon mencengkam bumi."

Tuesday, 14 February 2012

Menyingkap fitrah


Dalam hidup ini,setelah acap kali memerhati insan sekeliling,manusia sememangnya tidak dapat lari dari menyukai barang yang elok,cantik,indah dan sebagainya.Dalam bahasa mudahnya minat pada sesuatu yang baik.Sebagai contoh,seorang ayah telah menghadiahkan kepada dua orang anaknya seutas jam tangan setiap seorang.Namun begitu,si adik tidak berpuas hati kerana jam yang diperolehinya kelihatan kurang cantik bila dibandingkan dengan kakaknya.Si adik sangat meminati jam yang dimiliki kakaknya kerana ‘appearance’ jam itu memang menggamit hati yang memandang.

Cerita yang dibawakan ini menggambarkan bahawa ingin menyukai sesuatu yang baik adalah sifat manusia yang hadir secara semula jadi dan inilah yang dinamakan fitrah.Selalu sangat dengar perkataan fitrah ini disebut-sebut,tapi apa itu fitrah sebenarnya?itulah persoalan yang berlegar-legar.Tanpa diminta,suatu hari peluang untuk mendengar tazkirah tidak dilepaskan.Disebut dalam hadith Nabi s.a.w:

“setiap anak itu dilahirkan fitrah,maka ibu bapanya yang akan mencorakkan anak itu sama ada menjadi nasrani,yahudi atau majusi.”

Hadith ini memberitahu bahawa ibu bapalah yang mencorakkan anak mereka sama ada menjadi nasrani,yahudi atau majusi.Namun timbul pula persoalan mengapa islam tidak termasuk daripada tiga agama yang tersenarai?kerana fitrah itu adalah islam,subhanAllah. Inilah maksud hadith ini yang diterangkan dalam tazkirah tersebut.

Selepas mendengar penjelasan mengenai fitrah dari hadith tersebut,suka untuk dikaitkan semula mengenai sifat manusia yang menyukai sesuatu yang baik sebenarnya fitrah.Bermaksud islam telah menyemai benih untuk menyukai kebaikan sedari awal kita dilahirkan.Indahnya agama fitrah ini.Teringat satu ungkapan,”Innallaha jamil wa yuhibbul jamal”.Sesungguhnya Allah itu indah dan suka pada keindahan.

Bila disebut sifat manusia suka yang baik,perkataan ’baik’ sebenarnya sangat umum sebab timbul pula tanda tanya,

“suka kebaikan yang macam mana?”

“perkara yang membuatkan diri rasa tenang.”

“Habis tu kalau dikata merokok tu menenangkan macam mana?”

“kembalikan soalan itu ke dalam diri,benarkah perkara yang memberi mudharat menenangkan?misalnya sahabat anda berpesan,jangan minum air yang ada dalam botol tu sebab ada racun,jadi sudah tentu jelas air itu tidak akan diminum.Bagaimana pula dengan rokok yang sudah banyak dipaparkan berkenaan kandungannya yang merbahaya? Ya mungkin kerana kesan racunnya lambat memberi kesan berbanding botol air yang ada racun tadi,sebab itu ramai yang buat tak kisah atau mungkin awalnya sekadar mencuba atau diajak rakan tapi perlu diingat,ajakan terhadap perkara-perkara yang merbahaya,mungkar dan kejahatan semuanya bermula dari bisikan syaitan yang tidak pernah putus asa menyesatkan umat islam,apa jua yang disukai syaitan adalah batil dan palsu belaka,jadi itu bukan perkara yang namanya baik sebagaimana kehendak fitrah.”

menurut firasat,perkara yang baik adalah bila mana dilihat,hati kembali mengingati Allah lantas ketenangan meresap ke dalam jiwa.Sebagai contoh,bila melihat ciptaan manusia sekalipun seperti kapal terbang yang dilihat canggih dan gah bila di udara,mata yang melihat berasa seronok,tingginya teknologi zaman sekarang.Namun,hati kembali mengingati  bahawa manusia yang menghasilkan idea itu hanyalah sebagai sebab dan Allahlah yang mengilhamkan ilmu dan idea itu kepada hambaNya supaya diri kembali bersyukur.

Jadi sebenarnya segala kebaikan yang datangnya dari Allah menyebabkab manusia yang berada dalam fitrah akan kembali mengingati Allah setiap kali kebaikan meresapi hati.Begitulah dalam menelusuri kehidupan ini,peganglah serat-eratnya kebaikan yang datang tanpa dipinta kerana boleh jadi kebaikan yang menjengah kehidupan pada hari itu adalah titik tolak kepada hidayah yakni petunjuk dari Allah.Mungkin kebaikan itu dapat mengembalikan diri kepada jalan menuju fitrah.

Firman Allah s.w.t:
                  "perbuatan-perbuatan baik itu menghapus kesalahan-kesalahan."
                                                                                                             (surah Hud:114)

Firman Allah s.w.t:
 "dan bersabarlah,kerana sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang berbuat kebaikan."
                                                                                                              (surah Hud:115)

                                              “Hayati kehidupan menurut fitrah.”

Sunday, 12 February 2012

Mengapa perlu ditelusuri kehidupan?


Setinggi-tinggi pujian dan kesyukuran kehadrat Allah s.w.t yang melimpahkan ilmuNya yang sangat luas kepada hamba-hambaNya sekaligus dengan izinNya inginku nukilkan serba sedikit coretan sebagai wadah bagi diriku untuk menyampaikan serta mengingatkan diri berkenaan lorong-lorong menuju kebenaran.

 Sabda Rasululllah s.a.w:
      "sampaikanlah dariku walau sepotong ayat."
                                                                                                     (Riwayat Bukhari)

Selepas merenung maksud hadith,diriku berasa terpanggil untuk menyahut seruan Rasulullah s.a.w  untuk turut sama menyeru kepada insan-insan yang bergelar muslim agar sentiasa berpesan-pesan mengenai perkara kebaikan dan kebenaran.

Sahabat-sahabat yang ku kasihi kerana Allah,

Kembali kepada tajuk "mengapa perlu ditelusuri kehidupan?",sengaja diriku memilih tajuk berbentuk soalan supaya tanda tanya yang berlegar di minda merangsang akal untuk berfikir mengenainya.Sentuh berkenaan berfikir,ya berfikir adalah satu perkara yang sangat perlu diberi perhatian.kamu hari ini adalah gambaran apa yang telah kamu fikirkan sebelum ini,jadi lahirlah kamu seperti hari ini.

Sebagai seorang muslim,akal yang dikurniakan Allah untuk berfikir perlu berlandaskan wahyu yang diturunkanNya kepada Rasulullah s.a.w melalui perantaraan Jibril yakni Al-Quran,kalam Allah.Maha suci Allah yang menganugerahkan kitab suci Al-Quran kepada umat kekasihNya Rasulullah s.a.w supaya ia dijadikan panduan dalam setiap sudut kehidupan manusia.Akal yang sangat isitmewa ini memerlukan wahyu dalam membina fikiran berpandukan kehendak yang Maha Pencipta kerana ia berupaya membimbing manusia mengenal kebenaran dan kebatilan.

Dalam Al-Quran juga berulang kali Allah s.w.t berfirman di penghujung ayat "tidakkah kamu berfikir?","agar kamu berfikir","bagi mereka yang mempunyai akal fikiran.".Ayat-ayat Allah yang sedemikian jelas menyeru hamba-hambaNya agar sentiasa berfikir akan kebesaranNya,keagungan ciptaanNya,kemurahanNya,kekuasaanNya,Kasih-sayangNya dan RahmatNya kepada sekalian manusia.

Firman Allah s.w.t:

"Kalau sekiranya Kami menurunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung,pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah,dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir."                                                                                                                                                      

                                                                                                   (surah al-Hasyr:21)

Begitulah kehebatan makhluk-makhluk ciptaan Allah seperti gunung yang sangat taat dan patuh memikul amanah Allah.Sehingga digambarkan dalam ayat diatas gunung-gunung tunduk terpecah belah kerana takut kepada Allah.Cuba bayangkan sekiranya matahari,bulan,langit dan gunung tidak patuh pada aturan yang telah ditetapkan Allah?pastinya kacau bilau dan haru biru keadaan bumi.Tetapi kita dapat lihat bagaimana cantik dan sistematiknya aturan Allah kerana ketaatan makhluk ciptaanNya yang bernama matahari,bumi,langit dan gunung.

Begitu jugalah manusia,sistem dalam tubuh manusia cukup indah dan teratur.Akan tetapi Allah s.w.t menguji manusia dengan mengurniakan akal,betapa kasihnya Allah sehinggakan panduan untuk menggunakan akal pun turut sama disediakan iaitu Al-Quran.Sekiranya manusia tidak patuh dengan aturan Allah,tidak selari dengan kehendak Al-Quran,maka sistem dalam tubuh terganggu kemudian ia merebak kepada sistem kehidupan,kemudian berkembang dalam masyarakat dan akhirnya rosak dan binasalah keseluruhannya berpunca dari keingkaran manusia untuk mentaati Allah s.w.t.

Sahabat-sahabat yang ku sayangi kerana Allah,

Menelusuri kehidupan merupakan satu ungkapan yang perlu diperhati sedalam-dalamnya.Kehidupan semalam,hari ini dan esok penuh dengan makna.Memerhati dan meneliti hari-hari dalam kehidupan yang dilalui adalah sangat penting agar keinginan untuk bermuhasabah kembali bertaut ke dalam sanubari.

Perjalanan yang ditempuh dari hari ke hari penuh dengan ujian dan cubaan,penghujungnya nanti sama ada menggembirakan atau mendukacitakan.Sekiranya gembira setelah selesai dengan ujian itu,memang terasa senang pada hati tapi perlu diingat nilaian Allah tidak tetakluk pada kesudahan,Allah menilai bagaimana kamu menghadapi ujian itu,adakah sekadar bertawakal atau berusaha berhempas pulas atau kedua-duanya sekali.Paling penting sekali setelah berikhtiar semampunya,berserahlah pada Allah kerana Dia adalah sebaik-baik perancang.

Mari sama-sama menelusuri kehidupan ini dengan sentiasa menghitung diri-sendiri,memperbaiki,menginsafi serta membetulkan kesilapan semalam walaupun seremeh-remeh perkara, sekecil-kecil dosa apatah lagi perkara dan dosa yang besar.Sentiasa berusaha memperbaiki diri-sendiri insyaAllah akan mengetuk hati insan yang berada disekeliling untuk bersama memperbaiki diri agar suatu saat nanti kehidupan ini dapat telusuri bersama dengan penuh keimanan kepadaNya Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


                    "telusuri kehidupanmu dengan keimanan agar hadir keredhaan dari Tuhan."