Thursday, 23 February 2012

Ihfazillaha Yahfazka


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,sekali lagi dengan kehendakNya diberi sedikit ruang dan masa untuk menitipkan ingatan dan nasihat buat diri agar kekurangan dalam setiap sisi kehidupan ini sentiasa diperbaiki,kerana kebaikan dapat memadamkan kesalahan atau kesilapan semalam.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“perbuatan-perbuatan baik itu menghapus kesalahan-kesalahan.”

(surah Hud:114)

Mungkin ada yang sudah sinonim mendengar ihfazIllaha yahfazka,kalimah-kalimah ini sangat menyentuh hati tatkala ia benar-benar difahami,dihayati dan diaplikasi dalam kehidupan ini.Bukan dengan tidak sengaja untuk memilih tajuk ini namun hati ini tergerak untuk menulis bekenaannya oleh sebab dalam kehidupan seharian ini sesaat pun tidak pernah terlepas dari pandangan Allah,pengawasan Allah,penjagaan Allah dan pemeliharaan Allah. “jagalah Allah,Allah akan menjaga kamu.”Inilah maksud tajuk kali ini.

Sungguh dalam kehidupan akhir zaman ini, tika menjalani urusan setiap hari,banyak sekali mehnah atau ujian yang perlu dihadapi.Ujian datang dalam dua keadaan,sama ada menguji lahiriah atau rohaniah.Ujian yang menguji lahiriah seperti musibah (banjir,kemalangan,kekurangan wang untuk sara hidup,sakit dan lain-lain).Namun ujian yang menguji rohaniah seperti penyakit was-was,tidak khusyuk dalam solat,riba’,makanan yang syubhah yakni ia berada  di antara halal dan haram dan sebagainya.Oleh yang demikian,mengapa harus diuji?itulah tanda Tanya dalam diri bila jawapannya belum ditemui.Setelah membaca buku dan  artikel berkenaan ujian ini,dapat faham bahawa Allah menguji hamba-hambanya kerana tiga sebab iaitu sebagai,bala’,ibtila dan kafarah.

Ada ujian yang didatangkan Allah sebagai bala’ yang bermaksud malapetaka atau kesusahan.Bala’ ini adalah hukuman dari Allah semasa berada didunia lagi.Allah menimpakan Bala’ kepada hambanya yang enggan atau ingkar untuk mentaati segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.Sekiranya manusia yang ditimpa  Bala’ ini masih tidak menyedarinya hingga ajal tiba,bermakna dua kali hukuman menimpa dirinya,hukuman didunia iaitu bala’ dan hukuman di akhirat.Ya Allah lindungilah kami hambaMu yang lemah.Bala’ yang paling besar adalah berasa senang dengan dosa yang dilakukan,berasa seronok dengan maksiat yang dilakukan atau dalam kata mudah tidak dapat melihat dosa itu sebagai dosa walaupun ia sudah diketahuinya.wal ‘iazubillah.Contoh Bala’ bagi umat-umat terdahulu seperti Firaun dan pengikut-pengikutnya yang ditenggelamkan ke dalam laut merah,Raja Namrud yang mati hanya kerana seekor nyamuk telah masuk ke dalam otaknya,kaum nabi lut yang mati setelah bumi di negeri mereka diterbalikkan dan banyak lagi bala’ yang Allah timpakan kepada umat terdahulu.Kisah-kisah ini telah Allah rakamkan dalam Al-Quran agar umat kekasihNya Muhammad s.a.w  iaitu kita ini mengambil iktibar,menjadikan ia teladan dalam kehidupan agar sejarah yang pahit tidak berulang.

Terdapat juga ujian yang Allah datangkan sebagai ibtila’ yakni ujian atau cubaan.Ibtila’ ini adalah satu bentuk ujian dalam menjalankan ketaatan sebagai tanda kasih-sayang Allah terhadap hambaNya.SubhanAllah.Allah uji tanda Allah sayang.Itulah kata-kata yang sering didengar.ada kebenarannya.Tatkala Allah melihat hambanya sudah mulai taat,kemudiannya ujian pula mula didatangkan untuk menilai sejauh mana ketaatan,kesabaran,kesungguhan(jihad),kebergantungan(tawakal) dan kesyukuran hambaNya itu.Maka setelah Allah menilai hambanya,barulah Allah tahu hambanya berada ditahap mana.Setelah hambaNya telah menempuhi dengan penuh keimanan dan kesabaran,layaklah untuk Allah mengangkat darjat hambanya ke tahap yang lebih tinggi.Begitulah sifat Ar-Rahman Ar-Rahim.SubhanAllah.Kebiasaannya ibtila’ berlaku pada para nabi,para syuhada’ dan solihin seperti ujian dalam menegakkan kebenaran,namun ditentang hebat oleh golongan musyrikin.

Sebab terakhir Allah datangkan Ujian adalah sebagai kafarah iaitu penghapus dosa.teringat satu kisah antara seorang anak dan ibunya.Anaknya seorang yang baik kepada ibu bapanya dan taat kepada Allah.Namun pada satu hari si anak bergurau dengan ibunya sehingga membuatkan ibunya terasa hati,si anak tidak menyedari hal itu.setelah berlalu pergi si anak terpijak duri dan luka pula kakinya.Selepas itu,si anak kembali kepada ibunya dan ibunya segera merawati anaknya.lalu berkata ibu, “wahai anakku,adakalanya ujian yang ditimpa adalah kafarah ke atas kamu,beristighfarlah kepada Allah.”tiba-tiba anaknya terdetik adakah kata-kataku tadi menyinggung perasaan ibu?lalu anak itu memeluk erat ibunya lalu memohon ampun kepada ibunya.lalu ibunya berkata, ”ibu sudah memaafkan kamu.mohonlah keampunan pada Allah.Allah sayang pada hambanya yang bertaubat dan membersihkan diri.”Rupanya benarlah gerak hati si anak akan keterlanjurannya.Begitulah Kisah ini menjelaskan maksud kafarah,di mana balasan terhadap dosa yang dilakukan dihantar oleh Allah untuk menebus kesalahannya.Kesalahan yang berlaku disebabkan keterlanjurannya.Jadi Allah beri kafarah padanya agar tersedar serta kembali semula untuk memohon keampunan dari Allah.

Terlalu panjang penjelasan mengenai ujian,tapi itulah yang perlu ditelusuri supaya diri lebih menyedari maksud di sebalik setiap ujian.supaya usaha untuk terus mencari redhanya sentiasa dipelajari dan ditekuni.Berbalik kepada ihfazillaha yahfazka,jagalah Allah Allah akan menjaga kamu.Apa perkaitannya dengan ujian yang dihadapi?perlu diperhati bahawa segala yang berada dibumi yang kita diami ini tidak satu pun kepunyaan manusia.Semuanya milik Yang Allah yang Esa.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“milik Allahlah segala yang berada di langit mahupun di bumi.”

(surah Baqarah:284)

Segalanya milik Allah.Jadi apa yang ada pada manusia?manusia hanya sekadar di beri pinjaman oleh Allah, tanah yang dimiliki,rumah,kereta,isteri,suami,anak-anak, hatta tubuh ini pun pinjaman dari Allah terhadap hambaNya untuk menguji sifat taat,sabar dan syukur.Oleh yang demikian,bila mana segala isi dunia ini adalah nikmat kurniaanNya bermaksud bumi ini berada di bawah pengawasanNya,perlindunganNya dan pemeliharaanNya.Allah yang memelihara segala yang berada di langit dan di bumi.Semuanya berada dibawah naunganNya.

Di mana  dan sejauh mana kepatuhan serta ketaatan kita kepada Yang Maha Memelihara,Yang Maha Melindungi,Yang Maha Mengawasi,ini sepatutnya yang perlu difikirkan kerana kuasa yang mencengkam segala yang berada di langit dan di bumi hanya terletak pada kekuasaan Allah.Dengan patuh,taat dan sujud padaNya, keyakinan bahawa Allah sentiasa memelihara,menjaga dam mengawasi itu akan sentiasa jalan seiring.

Dari mana datangnya keyakinan?keyakinan bermula dengan keimanan sebagaimana dalam rukun iman.Iman adalah  iktiqad atau keyakinan dalam hati  pada kekuasaan Allah s.w.t yang seiring dengan ketaatan dalam melaksanakan amal-amal soleh dalam kehidupan.Bukti iman adalah amal soleh bermaksud perbuatan baik.Setelah keyakinan pada Allah terpahat dalam hati berserta dengan amal-amal soleh dalam kehidupan,keyakinan bahawa Allah Yang Memelihara dan Melindung akan sentiasa bersama.Inilah yang di maksudkan dengan Ihfazillaha yahfazka,Jagalah Allah Allah akan menjaga kamu.SubhanAllah.

Menjawab semula persoalan perkaitan antara ujian dengan tajuk ini,sebenarnya ingin dinyatakan bahawa manusia sering diuji setelah membuat sedikit demi sedikit perubahan kearah kebaikan,di uji tatkala berusaha untuk mentaati Allah,diuji tatkala ingin meniggalkan larangan Allah.namun sedarkah insan yang diuji ini sedang menjaga ketaatannya kepada Allah yakni ihfazillaha.Dengan keimanan,kesungguhan serta kesabaran kesudahannya Allah akan menjaga dan memeliharanya kembali yakni yahfazka.meyakini janji Allah tidak pernah menghampakan.

Sebelum berakhir,kehidupan yang dijalani saban hari ini tidak pernah lepas dari kesilapan dan kesalahan.Dengan pengetahuan yang hadir pada hari inilah dapat membetulkan serta memperbaiki kekurangan semalam.Jagalah Allah,Allah akan menjaga kamu dalam setiap urusan hidupmu.
               "Lihatlah keagungan serta kekuasaan Allah dengan merenungi ciptaanNya."

No comments:

Post a Comment