Sunday, 12 February 2012

Mengapa perlu ditelusuri kehidupan?


Setinggi-tinggi pujian dan kesyukuran kehadrat Allah s.w.t yang melimpahkan ilmuNya yang sangat luas kepada hamba-hambaNya sekaligus dengan izinNya inginku nukilkan serba sedikit coretan sebagai wadah bagi diriku untuk menyampaikan serta mengingatkan diri berkenaan lorong-lorong menuju kebenaran.

 Sabda Rasululllah s.a.w:
      "sampaikanlah dariku walau sepotong ayat."
                                                                                                     (Riwayat Bukhari)

Selepas merenung maksud hadith,diriku berasa terpanggil untuk menyahut seruan Rasulullah s.a.w  untuk turut sama menyeru kepada insan-insan yang bergelar muslim agar sentiasa berpesan-pesan mengenai perkara kebaikan dan kebenaran.

Sahabat-sahabat yang ku kasihi kerana Allah,

Kembali kepada tajuk "mengapa perlu ditelusuri kehidupan?",sengaja diriku memilih tajuk berbentuk soalan supaya tanda tanya yang berlegar di minda merangsang akal untuk berfikir mengenainya.Sentuh berkenaan berfikir,ya berfikir adalah satu perkara yang sangat perlu diberi perhatian.kamu hari ini adalah gambaran apa yang telah kamu fikirkan sebelum ini,jadi lahirlah kamu seperti hari ini.

Sebagai seorang muslim,akal yang dikurniakan Allah untuk berfikir perlu berlandaskan wahyu yang diturunkanNya kepada Rasulullah s.a.w melalui perantaraan Jibril yakni Al-Quran,kalam Allah.Maha suci Allah yang menganugerahkan kitab suci Al-Quran kepada umat kekasihNya Rasulullah s.a.w supaya ia dijadikan panduan dalam setiap sudut kehidupan manusia.Akal yang sangat isitmewa ini memerlukan wahyu dalam membina fikiran berpandukan kehendak yang Maha Pencipta kerana ia berupaya membimbing manusia mengenal kebenaran dan kebatilan.

Dalam Al-Quran juga berulang kali Allah s.w.t berfirman di penghujung ayat "tidakkah kamu berfikir?","agar kamu berfikir","bagi mereka yang mempunyai akal fikiran.".Ayat-ayat Allah yang sedemikian jelas menyeru hamba-hambaNya agar sentiasa berfikir akan kebesaranNya,keagungan ciptaanNya,kemurahanNya,kekuasaanNya,Kasih-sayangNya dan RahmatNya kepada sekalian manusia.

Firman Allah s.w.t:

"Kalau sekiranya Kami menurunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung,pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah,dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir."                                                                                                                                                      

                                                                                                   (surah al-Hasyr:21)

Begitulah kehebatan makhluk-makhluk ciptaan Allah seperti gunung yang sangat taat dan patuh memikul amanah Allah.Sehingga digambarkan dalam ayat diatas gunung-gunung tunduk terpecah belah kerana takut kepada Allah.Cuba bayangkan sekiranya matahari,bulan,langit dan gunung tidak patuh pada aturan yang telah ditetapkan Allah?pastinya kacau bilau dan haru biru keadaan bumi.Tetapi kita dapat lihat bagaimana cantik dan sistematiknya aturan Allah kerana ketaatan makhluk ciptaanNya yang bernama matahari,bumi,langit dan gunung.

Begitu jugalah manusia,sistem dalam tubuh manusia cukup indah dan teratur.Akan tetapi Allah s.w.t menguji manusia dengan mengurniakan akal,betapa kasihnya Allah sehinggakan panduan untuk menggunakan akal pun turut sama disediakan iaitu Al-Quran.Sekiranya manusia tidak patuh dengan aturan Allah,tidak selari dengan kehendak Al-Quran,maka sistem dalam tubuh terganggu kemudian ia merebak kepada sistem kehidupan,kemudian berkembang dalam masyarakat dan akhirnya rosak dan binasalah keseluruhannya berpunca dari keingkaran manusia untuk mentaati Allah s.w.t.

Sahabat-sahabat yang ku sayangi kerana Allah,

Menelusuri kehidupan merupakan satu ungkapan yang perlu diperhati sedalam-dalamnya.Kehidupan semalam,hari ini dan esok penuh dengan makna.Memerhati dan meneliti hari-hari dalam kehidupan yang dilalui adalah sangat penting agar keinginan untuk bermuhasabah kembali bertaut ke dalam sanubari.

Perjalanan yang ditempuh dari hari ke hari penuh dengan ujian dan cubaan,penghujungnya nanti sama ada menggembirakan atau mendukacitakan.Sekiranya gembira setelah selesai dengan ujian itu,memang terasa senang pada hati tapi perlu diingat nilaian Allah tidak tetakluk pada kesudahan,Allah menilai bagaimana kamu menghadapi ujian itu,adakah sekadar bertawakal atau berusaha berhempas pulas atau kedua-duanya sekali.Paling penting sekali setelah berikhtiar semampunya,berserahlah pada Allah kerana Dia adalah sebaik-baik perancang.

Mari sama-sama menelusuri kehidupan ini dengan sentiasa menghitung diri-sendiri,memperbaiki,menginsafi serta membetulkan kesilapan semalam walaupun seremeh-remeh perkara, sekecil-kecil dosa apatah lagi perkara dan dosa yang besar.Sentiasa berusaha memperbaiki diri-sendiri insyaAllah akan mengetuk hati insan yang berada disekeliling untuk bersama memperbaiki diri agar suatu saat nanti kehidupan ini dapat telusuri bersama dengan penuh keimanan kepadaNya Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


                    "telusuri kehidupanmu dengan keimanan agar hadir keredhaan dari Tuhan."

No comments:

Post a Comment